Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan
BERAKAS, Sabtu, 9 Mei. - Europe Acrobatic Circus kini dibuka secara rasmi, membawa gabungan hiburan bertaraf antarabangsa dan semangat kemasyarakatan melalui Bazar Amal yang berlangsung di kawasan Perkampungan Sukan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan perasmian pada malam tadi, Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, Dayang Hajah Nur Fariza Munyati binti Haji Abd. Aji.
Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, juga Ketua Kampung Belimbing.
Acara yang dijadualkan berlangsung dari 2 Mei 2026 hingga 14 Jun 2026 berkenaan menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk seisi keluarga bagi persembahan sarkas yang tampil lebih hebat dengan aksi lebih mendebarkan, serta berkonsepkan kekeluargaan, menjadikannya lebih menarik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bersempena pembukaan berkenaan, pengunjung juga boleh menikmati Bazar Amal di samping permainan Fun Fair untuk semua peringkat umur, reruai jualan juadah makanan dan pelbagai macam lagi.
Pertunjukan sarkas akan dipersembahkan dari Isnin hingga Ahad pada jam 4.00 petang dan 8.30 malam, manakala tiada pertunjukan pada Khamis, sementara pada Jumaat pada jam 8.30 malam sahaja.
Acara berkenaan bukan sekadar hiburan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan komuniti dalam suasana yang meriah.